Pembuka

Assalammualaikum..

Senin, 27 Desember 2010

Sajak Seorang Sufi

Bismillahirrahmannirrahim.....

Oleh: Melati Kecil
Ada seorang sasterawan berpendapat; untuk apa aku terus-menerus menulis puisi bertemakan ketuhanan yakni tentang Wahdatul Wujud? Semua orang pun sudah tahu Wujud itu Satu.

Tanggapannya itu tidak kunafikan, bahwa memang benar semua orang pun tahu sifat Wujud itu Satu jika berfikir secara awam. Tidak mengira dari ajaran agama apa pun, Tuhan tetap dipercayai Satu. Hanya di fikiran manusia sahaja mengambarkan Tuhan dalam berbagai-bagai persangkaan. Melainkan dalam Islam, Tuhan yang Maha Sejati tidak bisa digambarkan dengan apa pun dan tidak menyerupai yang lain.

Berbalik kepada tanggapan sasterawan itu, jika aspek ‘tahu Wujud itu Satu’ merupakan maksud suatu pencapaian bidang ilmu, aku kira itu silap. Tiada satu makhluk pun yang tahu tentang Wujud itu Satu. Wujud itu tidak ada di dalam ilmu, atau dengan lain perkataan, tidak ada pengetahuan yang bisa sampai ke sana. Wujud yang Satu itu adalah Rahsia Tuhan.

Justeru itu, dengan mengatakan semua orang sudah tahu Wujud itu Satu, tahu yang bagaimanakah caranya? Mungkin maksudnya dari aspek pemikiran. Namun pemikiran hanya banyak bersandarkan kepada persangkaan teori dan andaian filsafat, tidak mampu melepasi batas dimensinya. Pemikiran tidak dapat membuktikan di manakah keberadaan Wujud itu Satu.

Maka, apa yang diperkataan bahwa semua orang pun sudah tahu Wujud itu Satu, sebenarnya di kalangan orang awam tidak ada yang tahu tentang hakikat Wujud itu Satu melainkan orang-orang pilihan yakni di kalangan ahli sufi. Jelasnya, apa yang diketahui orang awam Wujud itu Satu adalah semata-mata berdasarkan natijah pemikiran yang amat terbatas dan tidak bercanggah dengan ketauhidan. Jika semua penghuni dunia ini di kalangan jin dan manusia tahu bahwa Wujud itu Satu, pasti semuanya akan beriman kepada Wujud Yang Satu itu dan tidak ada yang mahu mengkafirkan akidahnya.

Tuhan berfirman di dalam Hadis Qudsi, “Aku adalah Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Aku ingin ZatKu dikenali, maka kujadikan makhluk agar Aku dikenali.”

Justeru melalui kesahihan hadis ini, kita dapat memahami dengan jelas bahwa Allah hanya inginkan diriNya dikenali dan bukan untuk mengetahui hakikat ZatNya. Maksud mengenal di sini sebagaimana menurut ajaran sufi, ialah merasakan keberadaan Tuhan di dalam diri kita. Umpama kita minum kopi, usah bertanya kopi itu apa, tetapi rasailah kelazatan nikmat kopi itu sendiri. Barulah kita dapat mengenali kopi itu.

Aku tetap menuliskan puisi-puisi ketuhanan yang mengarah kepada tema Wujud Yang Satu, kerana aku tidak pernah merasai jemu menulisnya. Dan tujuan aku menulisnya kerana aku ingin sentiasa merasai kedekatan denganNya. Jika aku tidak dapat merasai keberadaan Tuhan di dalam diriku walau sesaat, aku merasai hidup ini benar-benar hancur dan hilang. Umpama sebuah lampu, jika tidak ada cahaya di dalam balang kacanya, kaca tidak bergemerlapan dan gelap selama-lamanya, kemaujudan kaca itu tidak akan bererti samasekali.

Keberadaan Tuhan di dalam diriku tidak dapat dipisahkan. Dia sentiasa ada bersama-samaku semenjak tubuhku belum dizahirkan. Dialah hakikatku. Manakala aku hanya sebuah rumah tempat Dia singgahi dan berdiam. 

2 komentar:

  1. Waalaikumsala Warahmatullah...
    terimakasih sudah bersedia berkunjung ke blog yang sangat sederhana ini ^_^
    saya sngat suka tentang sajak atau puisi yang bertemakan tentang kebesaran Tuhan, kalau anda juga suka, silakan bergabung dalam antologi sajak sufi di Facebook...
    ^_^

    BalasHapus

Ayo kirim komentar dan beri saya sebuah kritik ^_^ karena banyak spam jadi komentar nya saya moderasi.maaf :-)